Dalam satu artikel yang diterbitkan dalam Berita Harian, Prof Dr Noran Naqiah Hairi, berkata selain menyesuaikan diri dengan normal baharu pandemik COVID-19, masyarakat perlu mematuhi tanggungjawab sosial masing-masing.
“Sekiranya masyarakat tiada disiplin dalam menjaga penjarakan sosial akan ada penularan mikro (micro-outbreaks) dan mewujudkan kluster baharu hingga tidak mustahil Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diadakan semula disebabkan peningkatan kes secara mendadak.
“Semua ini akan terjadi meskipun fasiliti kesihatan negara bekerja keras untuk menangani penularan wabak pandemik itu. Bagaimanapun PKP semula itu mungkin bersifat setempat iaitu pergerakan terhad hanya di dalam komuniti yang terbabit sahaja,” katanya.
Katanya, dalam mengesan jangkitan baharu, hanya ujian penyelesaiannya kerana sukar untuk mengetahui dan memantau apa yang sedang berlaku, terutamanya dalam kalangan individu dengan jangkitan ringan, individu prasimptomatik dan tanpa gejala.
“Mereka ini sukar untuk didiagnosis tanpa ujian saringan. Ini kemudiannya perlu disusuli dengan pengesanan kontak atau contact tracing.
“Kita perlu perlu terima hakikat bahawa pandemik COVID-19 akan terus berlegar dalam kalangan masyarakat. Justeru tiga perkara penting yang perlu diambil berat, ialah mengelakkan berada di tempat sesak, di kawasan tertutup dan elakkan bercakap pada jarak yang dekat (kurang dari satu meter),” katanya.
Beliau berkata, kehidupan hanya kembali kepada normal asal sekiranya vaksin yang diperoleh berkesan dan diberikan kepada penduduk serta rawatan antivirus ditemui dan dapat digunakan untuk merawat pesakit COVID-19.
“Pada masa ini, langkah berkesan mencegah COVID-19 ialah menjaga dan mempraktikkan amalan kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan dengan air dan sabun, menggunakan pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial dengan jarak sekurang-kurangnya satu hingga dua meter antara satu dengan lain,” katanya.
You must be logged in to post a comment.