COVID-19 – Melindungi kanak-kanak tanggungjawab bersama!

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (atau World Health Organization, WHO) baru-baru ini telah mengisytiharkan situasi penularan COVID-19 sebagai pandemik dengan mengambil kira peningkatan kes secara mendadak di seluruh dunia. Dalam tempoh dua minggu yang lalu, fokus penularan COVID-19 berubah dari negara China ke seluruh dunia. Jumlah kes  melonjak sehingga melebihi 130,000 dan jumlah kematian melebihi 5000 orang di 116 buah negara. Perubahan ini berlaku secara mendadak – bagaikan belut dicubit ekor.

Penularan COVID-19 dijangka terus meningkat. Situasi terkini di Malaysia juga amat membimbangkan. Sehingga ke hari ini (14 Mac 2020) jumlah kumulatif kes positif COVID-19 dilaporkan sebanyak 238 kes – kebanyakan dari kes positif adalah dari kalangan orang dewasa. Senario yang sama juga dilihat di negara-negara lain di mana kes positif dan kes kematian kebanyakannya terdiri dari warga emas atau orang dewasa yang mempunyai masalah kesihatan. Kajian dari negara China yang melibatkan 44,000 kes positif, melaporkan kurang dari satu peratus kes adalah di kalangan kanak-kanak yang berumur bawah 10 tahun.

Mengapakah kadar jangkitan ini kecil atau kurang di kalangan kanak-kanak?  Mengapakah kelakuan virus SARS-COV-2 ini berbeza dari virus lain seperti seasonal influenza dimana keterukan penyakit jangkitan pernafasan melibatkan dua golongan – kanak-kanak dan warga emas.  Sistem imun kanak-kanak yang masih belum membangun dan sistem imun warga emas yang semakin lemah menjelaskan gambaran pola berbentuk U ini. Tetapi bagi COVID-19 lain pula gambarannya.  Pelbagai teori diketengahkan, tetapi hingga kini sebab sebenar masih belum dapat dikenalpasti. COVID-19, satu penyakit novel – penyakit baru yang dunia tidak pernah dikenali sebelum ini. Walaubagaimanapun, kanak-kanak masih boleh dijangkiti COVID-19. Apakah simptom COVID-19 yang ditunjukkan oleh kanak-kanak? Simptomnya adalah sama pada kanak-kanak dan orang dewasa – demam, batuk dan sukar bernafas, tetapi di kalangan kanak-kanak simptom secara amnya ringan.

Jadi, apakah yang boleh dilakukan bagi melindungi dan mencegah kanak-kanak dari dijangkiti COVID-19?

  • Pastikan mereka kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer
  • Pastikan mereka menutup mulut dengan etika yang betul apabila bersin atau batuk, atau dengan menggunakan tisu dan membuang tisu tersebut ke dalam tong sampah dan kemudiannya membasuh tangan dengan sabun dan air atau hand sanitizer
  • Pastikan mereka menjauhkan tangan dari muka
  • Elakkan anak-anak dari bersalaman dengan orang lain
  • Jauhkan mereka daripada orang yang sakit  
  • Ibubapa dan anak-anak juga harus memastikan pemakanan yang diambil seimbang, yang dimasak cukup kandungan karbohidrat, protein, lemak, serat dan vitamin serta mineral. Minumlah air masak yang mencukupi bagi mengekalkan status kesihatan.
  • Elakkan dari mengunjungi tempat tumpuan ramai terutamanya di waktu cuti sekolah ini – amalkan social distancing (atau menjarakkan hubungan sosial). Rancang aktiviti untuk anak-anak dirumah

Melindungi dan memastikan langkah pencegahan dan kawalan diambil bagi melindungi kanak-kanak adalah tanggungjawab semua. Amalan social distancing – menjarakkan hubungan sosial amat penting untuk mengurangkan kadar penularan pandemik COVID-19. Kadar penularan pandemik COVID-19 dapat dikurangkan dengan cara melewatkan puncak epidemic (delaying the epidemic peak), mengecilkan saiz puncak epidemik (reducing the size of the epidemic peak) dan memanjangkan tempoh penularan kes agar bebanan terhadap sistem kesihatan dikurangkan. Sekiranya langkah-langkah ini diabaikan, ianya akan memburukkan lagi penularan wabak. Kejayaan pendekatan social distancing bergantung kepada pengelibatan semua individu dalam masyarakat. Ayuh kita lakukan!

Ditulis oleh:

Prof Dr Noran Naqiah Hairi – Pakar Perubatan Kesihatan Awam & Pakar Epidemiologi, Prof Madya Dr Farizah Mohd Hairi – Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Prof Madya Dr Hazreen Abdul Majid – Pakar Perunding Diet dan Makanan Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya

Rujukan

  • Petra Zimmermann, Nigel Curtis. Coronavirus Infections in Children Including COVID-19. The Pediatric Infectious Disease Journal, March 12, 2020; DOI: 10.1097/INF.0000000000002660
  • Fong MW, Gao H, Wong JY, et al. Nonpharmaceutical Measures for Pandemic Influenza in Nonhealthcare Settings-Social Distancing Measures [published online ahead of print, 2020 May 17]. Emerg Infect Dis. 2020;26(5):10.3201/eid2605.190995. doi:10.3201/eid2605.190995

Subscribe to our newsletter

Sign up to receive an awesome Newsletter in your inbox, every month.

We don’t spam! We only sent out Monthly Newsletter